31 October 2009

Soalan-soalan Lazim mengenai Skim Cepat Kaya

Baca dan fahami apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan Skim Cepat Kaya.

1. Apakah Skim Cepat Kaya?

Satu pelan yang lazimnya menawarkan kadar pulangan yang tinggi atau tidak realistik bagi jumlah pelaburan yang kecil dan pada masa yang sama menjanjikan pelaburan tersebut adalah mudah dan bebas daripada sebarang risiko.

Skim "Cepat Kaya" yang berikut adalah dilarang di bawah undang-undang yang dikuat kuasakan oleh Bank Negara Malaysia:

Aktiviti pengambilan deposit secara haram

Aktiviti pengambilan deposit secara haram adalah suatu perbuatan menerima, mengambil, atau menyetujuterima deposit (wang, logam berharga, batu berharga, apa-apa artikel lain dan sebagainya) daripada orang awam atau pelabur, yang menjanjikan pembayaran semula deposit tersebut biasanya dengan faedah atau pulangan atau dengan sebarang balasan yang berupa wang atau nilaian wang, tanpa mempunyai satu lesen yang sah di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.

Urus niaga mata wang asing haram

Perbuatan yang berikut tergolong kepada urus niaga mata wang asing haram:
o Membeli atau menjual mata wang asing di antara dua orang dan tiada seorang daripada mereka adalah seorang peniaga yang diberi kuasa melainkan jika orang itu telah mendapatkan kebenaran daripada Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (AKPW).

o Membeli atau menjual mata wang asing oleh seorang pemastautin yang bukan seorang peniaga yang diberi kuasa dengan seorang di luar Malaysia melainkan jika orang itu telah mendapat kebenaran Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah AKPW.

2.Bagaimanakah untuk mengesan Skim Cepat Kaya?

Skim pengambilan deposit secara haram

  • Orang berkenaan (individu, syarikat atau organisasi) menerima, mengambil atau menyetujuterima deposit daripada orang awam tidak mempunyai lesen di bawah seksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989;

  • Orang tersebut berjanji untuk membayar semula deposit dengan atau tanpa faedah atau pulangan (faedah atau pulangan pelaburan dijanjikan untuk dibayar dalam suatu tempoh masa dan dalam bentuk wang atau nilaian wang, sebagainya); dan

  • Orang tersebut berjanji untuk membayar semula deposit pokok apabila pembayaran balik dituntut atau pada suatu masa atau mengikut hal keadaan yang dipersetujui oleh atau bagi pihak orang yang membuat bayaran itu dan orang yang menerimanya, dengan apa-apa balasan berupa wang atau nilaian wang (pembayaran pelaburan pokok adakalanya dimasukkan sekali dalam faedah atau pulangan tetap yang dijanjikan).

Skim urus niaga mata wang asing haram

Urus niaga mata wang asing dengan seseorang, selain daripada seorang yang diberi kuasa, yang tidak mendapat kebenaran oleh Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah AKPW sering:

  • Menawarkan kepada pelabur atau orang awam peluang untuk berurus niaga mata wang asing dengan syarikat induk (yang kononnya mempunyai lesen sah untuk berurus niaga mata wang asing di luar negara);
  • Memudahkan urus niaga mata wang asing dengan menyediakan akses kepada laman web syarikat induk dan kemudahan urus niaga melalui internet;
  • Menggaji lepasan siswazah sebagai eksekutif pemasaran dan mempengaruhi mereka supaya membuat ahli keluarga mereka membuat pelaburan;
  • Mengarahkan pelabur-pelabur untuk mendeposit wang pelaburan sama ada ke dalam akaun bank syarikat induk atau akaun bank pihak ketiga; dan
  • Mempengaruhi pelabur-pelabur untuk menambah jumlah pelaburan ("panggilan margin") atau menghadapi risiko kehilangan pelaburan mereka .
3.Bagaimanakah untuk melindungi diri daripada terjebak dengan skim seperti ini?

  • Ingatlah pada kata hikmat ini - Sesuatu yang menguntungkan tetapi seakan terlalu mustahil untuk diterima akal, berkemungkinan besar merupakan satu penipuan;
  • Berurusan hanya dengan institusi kewangan berlesen dan peniaga mata wang asing yang di beri kuasa;
  • Semak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa yang berkaitan;
  • Jangan gopoh atau membiarkan diri dipaksa untuk melabur;
  • Berhati-hatilah dengan pelaburan yang dibuat melalui internet;
  • Berwaspada dengan sebarang peluang pelaburan yang tidak bertulis; dan
  • Jika suatu pelaburan telah dibuat, simpan kesemua dokumen yang berkaitan dengan pelaburan dan komunikasi dengan selamat.

4. Apakah yang perlu anda lakukan sekiranya anda menjadi mangsa skim seperti ini?

Jika anda mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti pengambilan wang secara haram atau urus niaga mata wang asing secara haram atau anda sendiri adalah mangsa kepada aktiviti atau skim haram seumpamanya tersebut , sila hantar maklumat lanjut atau aduan anda beserta dengan dokumen berkaitan kepada Bank Negara Malaysia seperti berikut:

Alamat:

Unit Penyiasatan Khas
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur
Faksimili: 03-26987467
E-mel: upkinfo@bnm.gov.my



No comments: